Seni Kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama seni khat merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya. Pelbagai jenis dan rekabentuk tulisan khat telah lahir selaras dengan perkembangan Islam dan ianya telah menjadi satu aspek kesenian Islam yang unggul. Keindahan dan keseniannya berjaya memikat jutaan manusia sehinggakan ada orang bukan Islam memeluk Islam setelah mendapat hidayah dari pengamatannya terhadap seni ini. Dalam al-Quran juga banyak ayat2 yang membicarakan tentang kecantikan dan kesenian ini. Semoga seni ini tidak ditelan zaman bahkan akan semakin berkembang selari dengan arus zaman moden ini.
Khat Kufi Fatimi

Dinamakan Fatimi kerana Kufi ini terkenal pada zaman pemerintahan Fatimi di Mesir. Kufi ini juga mempunyai pelbagai bentuk antaranya ialah Kufi Muwarraq (berdaun), Kufi Muzzahar (berbunga) dan Kufi Mudhaffar (bersimpul). Kufi Fatimi adalah antara jenis Kufi yang masih digunakan hingga ke hari ini. Ia tidak dibaris dan boleh dihias di ruang kosong antara huruf dengan ragam hias yang bercirian pokok dan batang pokok kacang sebagai latar belakang ayat.
Khat Diwani Jali
Khat ini dicipta pada zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah oleh khattat bernama Syahla Pasya pada abad ke-10H. Ia berbeza dengan Khat Diwani kerana terdapat baris-baris dan titik hiasan serta mempunyai bentuk huruf yang lebih besar dan jelas. Dinamakan Jali bererti jelas kerana terdapat kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya. Digunakan untuk tulisan rasmi diraja dan surat menyurat kepada kerajaan asing. Bentuknya memenuhi kesemua ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan yang tersusun indah.
Khat Ijazah
Khat ini dicipta/diambil dari dua jenis khat iaitu Nasakh dan Thuluth. Ini bermakna khat Ijazah merupakan adunan dua jenis khat menjadi satu. Dinamakan Ijazah kerana Ijazah bermakna syahadah atau sijil yang dikurniakan kepada mereka yang betul-betul cemerlang dalam bidang khat. Maka guru khat tersebut akan menuliskan ijazah yang memperakui muridnya adalah orang yang berkelayakkan dalam bidang seni khat, ia juga digunakan untuk tandatangan sultan dan kalifah.
Khat Huruf Taj
Al-Taj bermaksud mahkota. Bentuk ini dicipta oleh pakar khat Mesir Muhammad Mahfiz pada zaman pemerintahan Raja Ahmad Fuad 1349H dengan meletakkan satu tanda seperti lam alif terbalik (seperti bentuk mahkota) di atas kepala huruf Nasakh dan ada juga di atas huruf Riq'ah.